Riyak berasal dari perkataan arab iaitu ‘ro’a’ yang bermaksud melihat. Maka riya’ pula bermakna memperlihatkan. Dalam istilah Islam pula bermakna menunjuk-nunjuk dalam melakukan sesuatu amalan, beramal kerana mengharapkan sesuatu balasan duniawi, yang dilakukan secara tidak ikhlas dan penuh kepalsuan.
Riyak bermaksud sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan baik yang dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan. Melakukan sesuatu ibadah untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia bahawa dia seorang yang rajin beribadah dengan tujuan ingin mendapat pujian manusia, pangkat atau harta daripada segala manfaat dunia.
Riyak berlaku hasil dari hati yang TIDAK IKHLAS. Iblis dan Syaitan menjalankan kerja-kerja menghiasi amalan-amalan kita dengan sifat riyak agar kita mudah menjadi terkenal dengan habuan dunia yang menyeronokkan dan sementara. Itulah di antara janji-janji Iblis yang penuh dengan kepalsuan.
Dari Ibnu Mas’ud dari Nabi S.a.w, baginda bersabda, “Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji zarah (atom) sekalipun.” Hadith Riwayat Muslim
Riyak dikategorikan sebagai syirik kecil adalah antara perkara yang paling ditakuti oleh Nabi SAW menimpa umatnya kerana syirik ini sangat halus dan kurang disedari oleh manusia yang melakukan ibadah. Dosa syirik tidak diampunkan Allah (secara automatik) maka hendaklah bertaubat nasuha agar diampuni dosa ini.
Kenapa riyak dikatakan syirik?Kerana kita meletakkan manusia setaraf dengan Allah. Sepatutnya sembahyang kita dan segala ibadah kita hanya kepada Allah tetapi kita lakukan kerana manusia. Maka kita letakkan manusia setaraf dengan Allah pada ibadah. Sebab itu riyak dianggap sebagai perbuatan syirik.
Ketahuilah bahawa riyak ini sebagai contoh adalah usaha oleh dirimu sendiri untuk mencari kedudukan di hati orang lain agar dihormati, disegani dan dipuji serta dipuja yang bertujuan untuk menampakkan dirinya kepada orang lain agar diketahui kehebatannya, kebaikannya, perjuangannya, dan amalnya. Betapa ramai manusia binasa dengan nafsu rasa ingin dipuja ini. Mereka lupa bahawa apa yang mereka ada itu adalah kerana izin ALLAH SWT.. Jika ALLAH mengatakan TIDAK! Maka tiada satu pun pada mereka.
Mereka gemar melakukan perbuatan-perbuatan amal seperti solat dan sebagainya ini adalah semata-mata kerana riyak iaitu ingin mendapatkan pujian semata-mata. Riyak adalah mengharapkan keduniaan semata-mata dan bagi menjaga status dirinya dengan melakukan amal-amal kebaikan untuk mendapat pujian. Antara contoh-contoh riyak adalah :
1- Melakukan amal soleh dan berakhlak mulia semata-mata mahu mendapat pujian dari masyarakat.
2- Memakai pakaian yang zuhud padahal dirinya bukan orang yang zuhud dalam hatinya.
3- Berpura-pura benci kepada keduniaan padahal ia menyesal jika terlepas melakukan perkara yang menguntungkan.
4- Melakukan amal solat dan sedekah jika dilihat orang.
Ada juga segelintir orang, status terkini di facebook dan di blog-blog gemar diisi dengan menceritakan diri sendiri telah melakukan kebaikan itu, kebaikan ini,berpuasa,qiamullail, bersedekah, hebat itu dan ini dan sebagainya. Tidak salah untuk menunjukkannya agar orang lain turut mengikuti, namun Islam menganjurkan agar merahsiakan segala amalan baik kerana takut perasaan riyak akan timbul.Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya, “Serendah-rendah riyak adalah syirik.“
Nabi Muhammad Saw berkata : Aku tidak bertanggung jawab kepada orang-orang yang bersifat Riya’
Nabi Muhammad Saw berkata dalam hadistnya yang mulia :
Siapa orang yang berpuasa hanya ingin di lihat orang maka itu adalah Riya’,
Siapa orang yang sholat hanya ingin di lihat orang maka itu adalah Riya’,
Siapa orang yang sholat hanya ingin di lihat orang maka itu adalah Riya’,
Siapa orang yang bersedekah hanya ingin di lihat orang maka itu adalah Riya’.( Al Imam Ahmad )
Sepertimana firman Allah Ta'ala;
Maka weil (satu lembah di dalam neraka jahannam disediakan) bagi orang-orang yang sembahyang tetapi lalai iaitu mereka yang riyak (menunjuk-nunjuk).-Surah Al-Mauun Ayat 4-
Jika bagi mereka yang sembahyang pun masih lagi dijanjikan neraka weil jika dia lalai daripada mengingat Allah apatahlagi bagi mereka yang meninggalkan sembahyang.
Sembahyang dan ibadah yang banyak dilakukan oleh seseorang itu kalau tidak dapat dihayati maka rasa kehambaan pada seseorang itu tidak akan lahir. Rasa bertuhan tidak akan timbul. Maka ibadah yang semacam ini bukan sahaja tidak dapat melahirkan orang yang merendah diri dan berkasih sayang tetapi akan lahir daripada sembahyang dan ibadahnya yang banyak itu sifat-sifat sombong dan riyak, sum'ah dan ingin dipuji, rasa diri bersih dan tidak takut dengan Tuhan. Oleh itu sembahyang dan ibadah yang sepatutnya menghubungkan diri seseorang hamba dengan Khaliqnya atau Tuhan, sebaliknya telah menjadi hijab seseorang hamba itu dengan Tuhannya. Dosa seperti inilah biasanya seseorang itu mati tidak berampun kerana dia tidak tahu atau tidak merasa membuat dosa. Akhirnya manusia itu mati di dalam suasana su'ul khatimah kerana dia rasa dia membuat baik bukan membuat dosa dan derhaka. Rupanya dia membuat dosa di atas saluran yang baik. Membuat dosa dan derhaka di dalam berbuat taat. Lahirnya nampak taat tapi batinnya derhaka.Mereka bersembahyang dan beribadah bukan untuk memusnahkan mazmumah tapi dengan ibadah itulah dia menyuburkan mazmumah.
Yang sebenarnya hakikat semuanya ini bermula dengan niat. Jika murni niatnya maka tiadalah menjadi masalah namun sekiranya ada kesamaran lebih baik dirahsiakan amalan-amalan baik ini supaya tidak rosak dan diredhai Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya, “Amalan seseorang itu ditentukan oleh niatnya. Oleh itu, setiap orang mendapat apa yang diniatkannya. Itulah sebabnya, orang yang berhijrah kerana Allah dan rasulnya, hijrah itu adalah kepada Allah dan Rasulnya. Tetapi bagi sesiapa yang berhijrah dengan niat hendak mendapatkan keuntungan di dunia atau pun bagi mendapatkan isteri, dia mendapat apa yang diniatkannya semasa dia berhijrah.” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Cara yang terbaik semestinya merahsiakan amalan baik kita agar ia terpelihara dari sifat riyak kerana ia akan menjadikan amalan baik kita sia-sia, serta turut menjatuhkan kita ke dalam golongan yang syirik. Biar Allah saja mengetahuinya kerana niat kita beribadah hanya untuk mencari keredhaanNya.
Firman Allah Taala, mafhumnya:“Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” Surah As Syuura : Ayat 20
No comments:
Post a Comment