Monday 27 June 2011

KISAH QORBAN DAN CINTA KEPADA ALLAH

Kisah 1: Nabi Adam

Korban dilaksanakan oleh anaknya, Qabil dan Habil. Menurut sejarah, kekayaan yang dimiliki Qabil mewakili kelompok golongan petani, sedangkan Habil mewakili kelompok penternak. Pada waktu itu, sudah mula ada perintah, sesiapa yang memiliki harta banyak, maka sebahagian hartanya hendaklah dikeluarkan untuk korban.Sebagai petani, Qabil mengeluarkan korban daripada hasil pertaniannya, dan sebagai penternak, Habil mengorbankan haiwan peliharaannya untuk korban. Qabil mengeluarkan korban yang afdal (terbaik), iaitu hasil ternakan yang sihat, manakala Habil sebaliknya. Hal itu diungkapkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua anak Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika mana kedua-duanya mempersembahkan ibadat korban, maka diterima daripada salah seorang dari mereka berdua (Habil), dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Lalu ia berkata: Aku pasti membunuhnya (Habil).” (Surah al-Maidah, ayat 27) Ayat di atas, membuktikan korban Habil diterima di sisi Allah atas dasar niat yang ikhlas dan taat dalam menjalankan perintah Allah. Korban Qabil tidak diterima Allah, kerana mengandungi unsur tidak ikhlas dan taat. Akhirnya, terjadilah peristiwa dan tragedi pembunuhan ke atas Habil oleh tindakan dendam kesumat Qabil. Sejarawan dan ahli tafsir menyatakan, itulah pembunuhan pertama dilakukan di kalangan umat manusia sejak bumi didiami insan. 


Kisah 2: Nabi Ibrahim.


Baginda bermimpi mendapat perintah daripada Allah supaya menyembelih anaknya Ismail. Di saat penyembelihan hendak dilaksanakan Nabi Ismail a.s. berkata kepada ayahnya: "Wahai ayah, saya ingin sampaikan beberapa permintaan kepada ayah. Hendaklah ayah mengikat tangan saya, supaya saya tidak meronta-ronta, yang akan menyulitkan ayah; hendaklah wajah saya dihadapkan ke tanah, supaya ayah tidak melihat wajah saya yang akan menimbulkan kasih sayang ayah kepada saya; hendaklah ayah melipatkan kain ayah, supaya tidak berlumuran darah sedikitpun, sehingga mengurangi pahala saya dan mungkin juga akan diketahui ibu, sehingga dia menjadi susah; hendaklah ayah mengasah pisau ayah, agar memper-cepatkan jalannya atas leher saya, supaya meringankan rasa sakit, kerana mati itu amat sakit sekali; hendaklah ayah membawa baju saya kepada ibu sebagai kenang-kenangan dan katakanlah kepadanya: 'Bersabarlah engkau terhadap perintah Allah', janganlah diberitahu kepadanya bagaimana cara ayah menyembelih saya dan bagaimana ayah mengikat tangan saya; hendaklah ayah tidak membawa anak-anak (seusia saya) ke rumah ibu, supaya rasa sedihnya tidak timbul kembali dan kalau ayah mengetahui anak yang sebaya saya, hendaklah ayah tidak melihatnya, sehingga ayah terkenang menjadi susah dan duka'

Maka kata Nabi Ibrahim a.s: "Sebaik-baik penolong, adalah engkau hai anakku, untuk melaksanakan perintah Allah Taala."Dan diletakkan pisaunya pada leher puteranya, maka dia mulai menyembelihnya dengan kuat sekali, akan tetapi dia tidak mampu melukai lehernya. Kemudian Nabi Ismail a.s berkata: "Wahai ayahku, lepaskanlah tali tangan dan kakiku, supaya Allah Taala tidak memandang saya sebagai orang yang terpaksa."

Maka Nabi Ibrahim pun menelentang kedua tangan Ismail dan kedua kakinya tanpa ikatan, serta memalingkan wajahnya ke arah tanah, lalu menetak pisaunya dengan sekuat tenaga. Pisau itu membalik serta tidak dapat melukai leher Ismail dengan izin Allah.  Kata Ismail a.s: "Wahai ayahku, kekuatanmu menjadi lemah, kerana masih ada rasa cintamu kepadaku, sehingga ayah tidak dapat menyembelih saya." Maka Nabi Ibrahim memukulkan pisau itu kepada batu, dan batu itu terputus dua. Kata Ibrahim a.s: "Hai pisau, engkau mampu membelah batu, tetapi kamu tidak dapat memotong daging?"

Pisau itu berkata dengan izin Allah: "Hai Ibrahim, engkau mengatakan: 'Potonglah!', sedangkan Allah berfirman: 'Jangan engkau potong', maka bagaimana boleh saya mentaati engkau sedangkan saya harus pula mender-hakai Tuhanmu?" Kemudian Allah berfirman:  Maksudnya: "Dan Kami (Allah) menyeru: Hai Ibrahim, sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang yang berbuat baik."Lalu Malaikat Jibril a.s telah datang membawa seekor kibas sebagai gantian Nabi Allah Ismail a.s.

Keikhlasan dan ketaatannya diberi imbalan oleh Allah, iaitu menyelamatkan Ismail dan menggantikannya dengan seekor kibas. Peristiwa korban itu memberikan teladan, untuk meraih kemuliaan pastilah dilalui dengan pengorbanan. Berjuang untuk mencapai kemuliaan, ternyata mesti ditempuh dengan berkorban. Orang yang menyatakan dirinya berjuang, tanpa ada kemahuan untuk berkorban, sesungguhnya bukanlah pejuang melainkan pengikut. Jika ingin maju dan mulia, pasti ada gerakan yang dipeloporinya untuk berjuang sekali gus berkorban, iaitu mendekatkan diri kepada Allah. Justeru kisah pengorbanan yang klasik ini diabadikan di dalam Al-Qur’an dan juga di dalam Doa Iftitah yang kita ucapkan dalam solat kita sempena doa Nabi Ibrahim: “Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, hidupku, dan matiku, hanya untuk-Mu Ya Rabbi!”


Kisah 3:  Nabi Muhammad SAW.


Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang membenci engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat perkara yang diingininya).” (Surah al-Kauthar, ayat 1-3) 

Perbuatan Rasulullah S.A.W seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud dan lain-lainnya menyatakan bahawa setiap Hari Raya Adha, Rasulullah S.A.W menyembelih dua ekor kambing yang gemuk, bertanduk dan berbulu putih bersih. Baginda mengimami sembahyang dan berkhutbah, sesudah itu baginda memegang kambing berkenaan dan bersedia untuk menyembelih, lalu berdoa:

"Ya Allah, terimalah ini dari Muhammad dan ahli keluarga Muhammad."

Kemudian baginda menyembelihnya. Sesudah itu baginda membaringkan kambing yang lagi satu dan berdoa:

"Ya Allah, terimalah ini daripada Muhammad dan umatku".

Sebahagian dagingnya dimakan oleh baginda dan keluarganya, dan sebahagian yang lain dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.


Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Maka makanlah kamu akan daging binatang korban itu dan berilah makan kepada orang susah, yang fakir miskin."
-Surah Al-Haj:Ayat 28




Pembahagian daging korban mengandungi makna sebagai cara untuk mendekatkan hubungan antara orang kaya dan miskin, antara orang berada dengan orang yang serba kekurangan. Malah ibadah korban adalah wahana penghubung yang dilandaskan rasa kemanusiaan, sehingga boleh menimbulkan rasa kasih dan simpati sesama manusia. Maka inilah ibadah yang menggambarkan syariat Islam, di mana manusia dapat mendekati Allah S.W.T atau "bertaqarrub" kepadanya apabila hamba berkenaan mendekati saudara-saudaranya yang berada dalam kesusahan.

Mereka yang akan menjalankan ibadah korban, disunatkan bagi mereka agar menyembelih binatang korban mereka itu sendiri. Jika tidak mampu maka saksikanlah upacara korban itu sendiri. Lihatlah upacara korban itu apabila darah pertama mula mengalir ke bumi, kerana ketika itulah Allah s.w.t mengampuni dosa-dosa yang telah lalu dari orang yang melakukan korban itu. Rasulullah s.a.w telah menyuruh puterinya Fatimah r.a untuk menyaksikan ibadah korban yang dijalankan atas namanya. Sabda beliau:

قُوْمِيْ إِلَى أَضْحِيَتِكِ فَاشْهَدِيْهَا فَإِنَّهُ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ مِنْ دَمِهَا يُغْفَرُ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوْبِكِ . 

Ertinya:  Bangunlah dan pergilah menyaksikan ibadah korban kamu kerana sesungguhnya pada titisan pertama darah yang mengalir akan diampunkan dosa kamu yang lepas. 
Maka kita disunatkan agar menyaksikan ibadah korban kita itu dan berdoalah kepada Allah: 'Ya Allah! Ini adalah dari Engkau dan untuk Engkau maka terimalahnya dari kami.' Semoga ibadah korban kita ini diterima Allah s.w.t, amin. 

Paling penting keikhlasan dan ketaatan menunaikan perintah Allah. Allah menguji iman, seperti menguji keimanan Nabi Ibrahim dengan memerintahkan menyembelih Ismail. Allah tidak memerlukan darah dan dagingnya. Allah sekadar menguji keimanan Ibrahim dengan perintah dan ujian yang sangat berat itu. Syariat dan ibadat korban terus berlaku hari ini hingga kiamat. Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada daging dan darah haiwan dikorbankan itu. Yang dilihat Allah adalah niat ikhlas dan taat yang ada pada diri orang yang berkorban. Allah berfirman yang bermaksud: “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredaan Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.” (Surah al-Hajj, ayat 37)

SUDAH BERKORBANKAH AKU???

Kita sering memperkatakan tentang pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Namun sejauh manakah kita mengambil pengajaran melalui kisah-kisah itu. Jarang-jarang sekali kita mengorbankan kehendak kita, kesukaan kita dan kepentingan kita untuk Allah; malahan, ada yang berpendapat jika kita lakukan sesuatu (amalan) bukan dengan penuh kecintaan, dan senang hati untuk melakukannya, ia adalah sesuatu yang ditolak dan dikeji.


Selalu kita dengari alasan-alasan seperti "hati masih belum terbuka"; "beramal tapi kalau tak ikhlas tak guna jugak" ; "kalau buat tak diterima, kalau x buat pun sama je..baik x yah buat" dan lain-lain lagi sebagai alasan untuk kita melarikan diri daripada menunaikan kewajiban agamanya. Ramai dikalangan kita yang menyangka bahawa jika kita beramal dengan perasaan berat hati adalah sesuatu yang tertolak.,dan kerana itulah mereka meninggalkannya. Kerana itulah masih ramai yang masih menunggu hatinya terbuka untuk bertudung. Kerana itulah ada yang hanya bersolat apabila terasa "ikhlas" untuk bersolat. Malahan ada yang mengatakan sesiapa yang biasanya tidak bersolat, dan tiba-tiba rasa ingin bersolat adalah ikhlas yang sebenar.



Lihatlah bagaimana pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. untuk mendapatkan ketaqwaan dan kecintaan Allah dan juga balasan yang baik daripadaNya. Untuk kita mendapatkan ketaqwaan dan keimanan yang mendalam seperti ini perlulah kita membuat suatu pengorbanan.  Kita tanyalah diri sendiri dan jawab secara jujur.Apakah pengorbanan kita? Apakah perkara yang amat kita sayangi dan kita hargai? Harta kita, Ilmu kita, pangkat dan kedudukan kita, kecantikan kita, kekuatan jasmani kita. Jawapannya hanya pada diri masing-masing.

Jadi apa yang terkorban dalam hidup kita demi kepentingan Islam? Kita tahu akan kekuatan dan kelemahan kita maka gunakanlah kekuatan dan kemahiran kita untuk membuat sedikit pengorbanan dan usaha bagi kepentingan agama, bangsa dan negara.Perlu lahir dari kalangan umat ini semangat pengorbanan yang dimiliki oleh Rasulullah dan para sahabat. Perlu ada di kalangan umat ini 'figure' yang memiliki jiwa besar umpama Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Perlu ada golongan yang keluar merentasi desa, menyeberangi lautan, mendaki bukit bukau, mengharungi onak dan duri, berkelana di rimba, terbang ke tujuh benua demi membuktikan kecintaannya kepada agama Allah SWT mengatasi kecintaan kepada yang lain.

Namun lain pula halnya jika kita melakukan sesuatu yang kita tidak sukai demi orang yang tersayang (iaitu kekasih kita) . Jika kita sanggup mengenepikan kepentingan diri kita, dan melakukan sesuatu yang tidak kita sukai demi kekasih kita, ia dikatakan sangat ikhlas. Dan dia dikatakan mencintai kekasihnya dengan penuh keikhlasan (kerana sanggup lakukan apa sahaja walaupun tidak disukainya demi kekasihnya). Namun mengapakah pendangan kita sangat berbeza jika kita berkorban untuk Tuhan kita yang sepatutnya menjadi "Kekasih Agung" kita?????


Janganlah kerana fahaman-fahaman kita yang silap itu menghalangi kita daripada memperbaiki diri kita walaupun ia kelihatan lebih benar; kerana Allah telah mengingatkan kita di dalam al-Quran: Dan syaitan memperindahkan kepada mereka apa yang mereka lakukan [al-an'aam ].

...........................................................................................................................................




Kesempurnaan pengorbanan terletak pada adanya sesuatu yang terkorban dari orang yang berkorban.

Pertama: Harta benda, berlaku kekurangan harta benda dan wang ringgit miliknya. Hingga diri dan keluarganya hidup di tahap paling sederhana. Tidak boleh mendakwa dirinya pejuang yang banyak berkorban andainya hidup semakin mewah, semakin senang dan harta semakin bertimbun.

Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a pernah ditanya apabila beliau mengorbankan semua hartanya ke jalan Allah, apa lagi yang tinggal untuknya? Beliau menjawab: "Allah dan Rasul"

Kedua: Masa, untuk terbangunnya kejayaan umat, banyak masa perlu digunakan. Tidak boleh 'part time' atau kalau ada masa. Melainkan hilang segala masa rehat, masa santai dan privacy. Terlalu sempit ruang waktu untuk urusan peribadi dan keluarga.
Sayidina Umar Ibnu Khattab pernah berkata:
"Aku tidak dapat tidur di siang hari kerana bimbang urusan aku dengan rakyat tidak selesai, dan aku juga tidak dapat tidur di malam hari kerana bimbang kalau urusan aku dengan Tuhanku tidak selesai."
Ketiga: Tenaga, diri sendiri itulah merupakan sumber tenaga untuk dikorbankan. Tenaga yang tercurah untuk perjuangan Islam itu tidak lagi dapat digunakan untuk menambah pendapatan atau mengumpul kekayaan.

Keempat: Perasaan, kedapatan juga umat yang mahu berkorban membangunkan Islam tetapi memilih dalam bentuk yang seronok, pujian dan sanjungan. Atau bentuk-bentuk yang tidak sampai menanggung derita jiwa kerana menghadapi tentangan. Apa jua jenis risiko yang bakal dihadapi akan diusahakan menghindarinya. Sedangkan memang menjadi sunnatullah para pejuang terpaksa banyak menekan perasaan kerana risiko yang dihadapi.

Kelima: Fikiran, Sayidina Umar Ibnu Khattab sangat dukacita andainya umat ini terdiri dari orang yang lemah mentalitinya walaupun bertaqwa. Anehnya kini kepintaran dan ketinggian mental umat Islam lebih banyak digunakan untuk membangunkan material. Umat perlukan master mind yang mampu merancang, buah fikiran yang bernas, minda yang bersih. Kepintaran diperlukan untuk mengupas isi Al Quran dan mencapai ilmu Islam yang lainnya. Individu muslim yang pintar perlu berkorban demi kedaulatan Islam.

Keenam: Nyawa, ini yang dilakukan oleh para sahabat.
Milik manusia yang paling disayangi ialah nyawa. Para sahabat menukar ganti nyawa mereka demi untuk kemuliaan Islam kerana Allah SWT.

Berkorban apa saja - Hang Tuah





Saturday 25 June 2011

MENGAPA ALLAH MENTAKDIRKAN KEBURUKAN?

Pertama, agar kebaikan dapat dikenal.

Kedua, supaya manusia menyandarkan diri kepada Allah Ta’ala.

Ketiga, supaya manusia bertaubat kepada-Nya (setelah ia berbuat dosa).

Betapa banyaknya manusia yang terdorong untuk membaca zikir-zikir siang dan malam dikeranakan ia takut dari keburukan makhluk yang akan menimpanya. Kerananya, didapati orang seperti ini senantiasa rajin membaca wirid supaya ia selamat dari gangguan-gangguan. Maka keburukan yang ada pada makhluk ini memiliki hikmah bagi terdorongnya seseorang untuk senantiasa berzikir dan membaca wirid dan semisalnya. Ini tentunya merupakan suatu kebaikan.

Jika engkau yakini bahawa semua perbuatan Allah Ta’ala adalah kebaikan, maka hatimu akan merasa tenteram terhadap semua yang ditakdirkan Allah Ta’ala. Engkau pun akan pasrah menerima sepenuhnya. Engkau akan menjadi seperti yang difirmankankan Allah Ta’ala,
وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ
Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya.” (Qs. at-Taghabun: 11)

Alqamah berkata, “Apabila seseorang ditimpa musibah lalu merasa yakin bahawa hal itu dari sisi Allah, maka ia pun redha dan menerima.”

Bila seorang manusia redha dengan sepenuhnya terhadap ketentuan Allah Ta’ala, maka ia akan terbebas dari perasaan sedih dan sikap gelisah, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w,
اَلْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَ أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ، وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ، اِحْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَلاَ تَعْجَزْ، وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلاَ تَقُلْ: لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَذَا لَكَانَ كَذَا، فَإِنَّ “لَوْ” تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, (namun) pada keduanya ada kebaikan (karena keimanan keduanya). Bersemangatlah terhadap segala sesuatu yang mendatangkan manfaat untukmu. Mohonlah pertolongan kepadaNya dan janganlah lemah. Jika engkau tertimpa sesuatu, janganlah engkau katakan, ‘Jikalau aku berbuat ini dan itu, maka tentunya akan beigni dan begitu.’ Dikeranakan kata ‘seandainya’ membuka amalan syaitan.

Dalam hadits yang mulia ini, Rasulullah s.a.w memerintahkan kita untuk terus bersemangat dalam melakukan hal-hal yang bermanfaat. Kemudian, jika kenyataan tidak sesuai dengan harapan sebelumnya, maka katakanlah hal ini telah ditakdirkanNya, dan segala sesuatu yang dikehendakiNya pasti terjadi.

Maksud hadits di atas adalah: Yang paling utama bukanlah kuatnya otot-otot atau badangnya, namun yang dimaksud adalah mukmin yang kuat dalam keimanannya, sebab betapa banyak orang yang kuat badannya tapi tidak banyak berbuat manfaat, namun sebaliknya.

Ringkasnya, keburukan atau kejelekan itu tidak dinisbatkan kepada Allah, sebab Nabi s.a.w bersabda,
وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ
… Dan keburukan bukan berasal dariMu.”
Akan tetapi, kejelekan itu hanya disandarkan pada makhlukNya. Allah Ta’ala berfirman,
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ. مِن شَرِّ مَا خَلَقَ
Katakanlah, ‘Aku berlindung kepada Rabb yang menguasai subuh, dari kejahatan makhluk-Nya.’” (Qs. al-Falaq: 1–2)

Maka, keburukan hanya disandarkan kepada makhluk. Muncul pertanyaan, “Apakah dalam mentakdirkan makhluk-makhluk yang jahat terdapat hikmah?”

Jawabnya, “Ya, di dalamnya terdapat hikmah yang agung.” Kalaulah bukan kerana sebab adanya makhluk yang jahat ini, tentunya kita tidak akan mengenal manfaatnya makhluk yang baik. Serigala misalnya, walaupun badannya kecil, bila dibandingkan dengan unta, tapi ia mampu memakan manusia, sebagaimana yang Allah gambarkan dalam surat Yusuf melalui lisannya Nabi Ya’qub ‘alaihis salam,
وَأَخَافُ أَن يَأْكُلَهُ الذِّئْبُ
Dan aku khuatir kalau-kalau dia dimakan serigala.” (Qs. Yusuf: 13)

Sebagaimana yang telah kita ketahui bersama pula, bahawa seekor unta tidak mungkin makan manusia. Bahkan seekor unta yang kuat dan besar badannya pun akan tunduk kepada perintah anak kecil. Allah s.w.t berfirman,
أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا خَلَقْنَا لَهُمْ مِمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَا أَنْعَاماً فَهُمْ لَهَا مَالِكُونَ. وَذَلَّلْنَاهَا لَهُمْ فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ وَمِنْهَا يَأْكُلُونَ
Dan apakah mereka tidak melihat bahawa sesungguhnya Kami telah menciptakan binatang ternak untuk mereka, iaitu sebahagian dari apa yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami sendiri, lalu mereka menguasainya? Dan kami tundukkan binatang-binatang itu untuk mereka. Maka sebahagiannya menjadi tunggangan mereka dan sebagiannya mereka makan.” (Qs. Yasin: 71–72)

Amatilah hikmah yang sangat agung pada unta ciptaan Allah Ta’ala, yang memiliki badang besar. Allah telah memerintahkan kita untuk bertadabbur (merenungkan dan mengambil pelajaran) terhadapnya, sebagaimana firman-Nya,
أَفَلاَ يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan bagaimana unta diciptakan.” (Qs. al-Ghasyiyah: 17)

Selain itu, Allah pun menciptakan serigala dan selainnya yang membahayakan manusia, sehingga  kita dapat mengetahui betapa agungnya kekuasaan Allah Ta’ala, dan bahawa segala urusan berada di tanganNya.