Tuesday 20 September 2011

Carilah Rahmat dan Kasih Sayang Allah

Manusia dimasukkan ke dalam Neraka kerana keadilan Allah. Tidak ada siapa pun yang dilemparkan ke dalam Neraka kerana terzalim. Mereka yang dilemparkan ke Neraka juga tidak terasa dizalimi. Penghuni Neraka itu sendiri akan merasakan patut dan layak mereka itu dicampakkan ke dalam Neraka dan semua mereka sedar akan punca dan sebab-sebabnya. Namun demikian, keadaan ini tidak sama dengan Syurga. Hakikatnya adalah tidak adil kalau manusia itu dimasukkan ke Syurga. Tidak ada manusia yang layak untuk ke Syurga. Tidak ada kebaikan atau amalan soleh yang dibuat oleh manusia yang dengannya ia dapat membeli nikmat Syurga. Walau bagaimana banyak dan hebatnya amalan soleh seseorang manusia itu, ia tidak akan dapat menebus walaupun nikmat sebelah mata. Ini belum lagi nikmat-nikmat yang lain. Jauh sekalilah untuk membeli Syurga.


Allah SWT memasukkan manusia ke dalam Syurga hanya kerana kasih sayang dan rahmat-Nya. Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Bukanlah amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah SWT belaka.” (Riwayat Muslim)
Kalaulah kasih sayang dan rahmat Allah menjadi sebab kita ke Syurga, maka itulah yang patut kita usahakan. Apa pun yang kita buat atau yang kita amalkan mestilah untuk menagih dan mendapat kasih sayang dan rahmat Allah. Dorongan bagi kita untuk beramal dan berjuang mestilah juga untuk mendapat kasih sayang dan rahmat Allah. Dorongan bagi kita untuk menjauhkan maksiat dan kemungkaran mestilah kerana takut tersisih dan terlepas dari kasih sayang dan rahmat Allah dan takut Allah akan murka kepada kita. Justeru itu, hendaklah kita banyak usahakan perkara-perkara yang boleh mendatangkan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Di antaranya ialah:
1. Berbuat Ihsan dalam beribadah kepada Allah SWT dengan menyempurnakan ibadah kepadaNya dan merasa sentiasa diawasi oleh Allah SWT, bahawasanya kamu beribadah kepada Allah SWT, seolah-olah kamu melihatNya, maka jika kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu, dan berbuat baik kepada manusia sebanyak mungkin, baik dengan ucapan, perbuatan, harta, dan kedudukan. Allah SWT berfirman,bermaksud, "Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik." (QS. al-A'raf: 56)

2. Dan di antara sebab-sebab yang paling utama untuk mendapatkan rahmat Allah SWT adalah bertaqwa kepadaNya dan mentaatiNya dengan melaksanakan perintah-perintahNya dan menjauhi larangan-laranganNya, seperti mengeluarkan zakat kepada orang-orang yang berhak menerimanya, beriman dengan ayat-ayat Allah SWT, dan mengikuti RasulNya. Allah SWT berfirman, ertinya, "Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu. Maka akan Aku tetapkan rahmatKu untuk orang-orang yang bertaqwa, yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami. (Iaitu) orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi yang ummi." (QS. al-A'raf: 156, 157)

3. Kasih sayang kepada makhluk-makhlukNya baik manusia mahupun binatang. Rasulullah SAW bersabda, "Orang-orang yang penyayang, maka Allah SWT akan menyayangi mereka (memberikan rahmat kepada mereka), sayangilah dan kasihilah penduduk bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangi kalian." (HR. Abu Daud dan at-Tirmizi)
Dan hal itu lebih ditekankan lagi kepada orang-orang fakir dan miskin yang sangat memerlukan. Sedangkan balasan (ganjarannya) sesuai dengan perbuatan, sebagaimana kita berbuat baik, maka kita akan mendapatkan balasan dari kebaikan tersebut.

4. Beriman, berhijrah, dan berjihad di jalan Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. al-Baqarah: 218).
Maka orang-orang yang beriman selalu mengharapkan rahmat Allah SWT setelah mereka melaksanakan sebab-sebab mendapatkan rahmat iaitu iman, hijrah, dan berjihad di jalan Allah SWT.
Adapun hijrah itu sebagaimana Rasululullah SAW bersabda, "Orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah." (Muttafaq 'alaih).
Rasulullah SAW memberitahu kita berkenaan maksud jihad melalui sebuah hadisnya, yang bermaksud : " Dari Abi Musa, katanya, "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana engkau lihat seorang lelaki yang berjuang kerana keberanian dan yang berjuang kerana Hamiyatan dan yang berjuang kerana riyak? Mana dari mereka yang berjuang di jalan Allah? Maka sabda Rasulullah, "Barang siapa yang berjuang agar kalimah Allah itu menjadi tinggi, maka dia lah yang berada di jalan Allah. "(HR Bukhari & Muslim)
Jihad merangkumi juga jihad melawan hawa nafsu dalam mentaati Allah SWT, sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW, "Orang yang berjihad adalah orang yang memerangi hawa nafsunya dalam mentaati Allah." (HR. al-Baihaqi).

5. Mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mentaati Rasulullah SAW, sebagaimana Allah berfirman, maksudnya, "Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada Rasul, supaya kamu diberi rahmat." (QS. an-Nur: 56).

6. Berdoa kepada Allah SWT untuk mendapatkan rahmatNya, dengan menyebut-nyebut nama-namaNya yang Maha Pengasih (ar-Rahman) lagi Maha Penyayang (ar-Rahim) atau yang lainnya dari nama-namaNya yang Agung dan Indah (Asmaul Husna), seperti mengatakan, "Ya Rahman (Wahai Yang Maha Penyayang), ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmatMu yang luas yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampuni dosa-dosaku, terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Allah SWT berfirman, bermaksud, "Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)." (QS. al-Kahfi: 10).
Dan Allah SWT juga berfirman, ertinya, "Hanya milik Allah asmaul-Husna, maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut asmaul-Husna itu." (QS. al-A'raf: 180).
Mohonlah setiap permintaan kita itu dengan nama yang sesuai dengan permintaannya itu untuk mendapatkannya. Firman Allah SWT, ertinya, "Dan Tuhanmu berfirman, 'Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu'." (QS. al-Mu'min: 60).
Dan firman Allah SWT lainnya, "Dan katakanlah, 'Ya Tuhanku berilah ampun dan berilah rahmat, dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling baik." (QS. al-Mu'minun: 118).
Allah SWT telah menyuruh kita berdoa dan menjamin akan mengabulkan doa tersebut dan Dia Maha Suci yang tidak pernah mengingkari janji.

7. Menjadikan Al-Quran sebagai panduan, pegangan dan mengamalkannya. "Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan, yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertaqwalah agar kamu diberi rahmat." (QS. al-An'am: 155).

8. Mentaati Allah dan RasulNya sebagaimana firman Allah SWT, ertinya, "Dan taatilah Allah dan Rasul, supaya kamu diberi rahmat." (QS. Ali 'Imran: 132).

9. Mendengarkan dan memperhatikan dengan tenang ketika dibacakan al-Quran.
"Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat." (QS. al-A'raf: 204).

10. Istighfar, memohon ampunan dari Allah SWT. FirmanNya,  "Hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, agar kamu mendapat rahmat." (QS. an-Naml: 46).

11. Banyakkan berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW.

12. Suka menerima tetamu, kerana datangnya tetamu itu membawa rahmat dan perginya menghapuskan dosa.

13. Banyakkan amalan-amalan sunat. Allah ada berfirman dalam sebuah hadis Qudsi: “Hendaklah kamu lakukan sebanyak-banyaknya amalan-amalan yang sunat sehingga Aku jatuh cinta dan sayang kepadamu.”

Di dalam konteks yang sama, beramal untuk mendapatkan sebanyak-banyak pahala dan fadhilat dari ibadah tidak ada erti apa-apa. Pahala dan fadhilat bukan menjadi sebab manusia dimasukkan ke Syurga. Ia bukan matawang untuk kita beli Syurga. Syurga terlalu mahal untuk dibeli dengan pahala dan fadhilat.

Mereka yang beramal untuk mengumpulkan pahala dan fadhilat demi untuk mendapatkan Syurga seolah-olah telah mengkesampingkan Allah SWT. Seolah-olah mereka telah menggantikan peranan Allah itu dengan pahala dan fadhilat dan seolah-olah pahala dan fadhilat itu menjadi penentu mereka dapat masuk ke Syurga. Mereka merasakan seolah-olah dengan memiliki banyak pahala itu akan terjamin kasih sayang Tuhan dan terjamin Allah tidak akan murka pada mereka.

Yang lebih berbahaya lagi ialah apabila pahala dan fadhilat menjadi matlamat amalan mereka dan bukan lagi Tuhan. Walaupun mulut mereka berkata: “Sahaja aku solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya kerana Allah”, tetapi hati mereka mentasdikkan untuk mendapat pahala dan fadhilat. Pahala dan fadhilat hanyalah apa yang Allah janjikan di atas amalan soleh yang kita buat dan ia adalah urusan Tuhan. Bukan kerananya kita beramal.

Mereka yang beramal untuk pahala dan fadhilat juga telah terjebak dengan cara dunia dan sekularisma. Kalau di dunia mereka mengumpulkan wang untuk membeli kesenangan maka mereka terbawa-bawa untuk mengumpulkan pahala dan fadhilat guna untuk membeli kesenangan di Akhirat. Pahala dan fadhilat itu sebenarnya ibarat hadiah dari Tuhan. Adakah patut kita berlumba-lumba untuk mendapat dan mengumpulkan hadiah tetapi tidak mengendahkan dan tidak mempedulikan Tuhan yang memberikan hadiah itu. Apa dan siapa sebenarnya yang harus kita sanjung dan perbesarkan, hadiah atau yang memberi hadiah?

Kalaupun kita dapat mengumpulkan sebanyak-banyak pahala, apalah ertinya kalau kita tidak mendapat kasih sayang dan rahmat Tuhan. Tetapi kalau kita mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan, ertinya kita sebenarnya telah mendapat segala-galanya. Tidak ada apa lagi yang kita perlukan kalau kita sudah mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan.
Ketahuilah, sesungguhnya Allah SWT Maha Pemberi rahmat (kasih sayang). Bahkan sayangNya terhadap hamba-hambaNya lebih dari sayangnya seorang ibu kepada anaknya.

§ Dengan kasih sayangNya, Dia menciptakan kita.
§ Dengan rahmatNya, Dia memberikan rezeki kepada kita.
§ Dengan rahmatNya, Dia memberikan kesihatan kepada kita.
§ Dengan rahmatNya, Dia memberikan makan dan minum, pakaian serta tempat tinggal kepada kita.
§ Dengan rahmatNya, Dia menunjukkan kita kepada Islam dan Iman serta amal soleh.
§ Dengan rahmatNya, Dia mengajarkan kepada kita apa yang tidak kita ketahui.
§ Dengan rahmatNya, Dia memalingkan kejahatan musuh-musuh dari diri kita. Allah SWT berfirman, bermaksud, "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur." (QS. al-Hajj: 38).
§ Dengan rahmatNya, Dia menurunkan hujan dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan,.
§ Dengan rahmatNya, Dia memasukkan hamba-hambaNya yang beriman dan yang beramal soleh ke dalam syurga.
§ Dengan rahmatNya, Dia menyelamatkan mereka dari Neraka.

Sunday 24 July 2011

PINTU-PINTU RIYA'

Pintu-pintu yang mengantarkan kepada riya’ (ingin dipuji manusia) sangat banyak sekali, kita berlindung kepada Alloh darinya.
Jenis-jenis tersebut adalah sebagai berikut :
1. Memang keinginan seorang hamba tersebut untuk selain Alloh. Dia ingin dan senang apabila diketahui oleh orang lain bahawa ia telah melakukan hal tersebut dan sama sekali tidak meniatkan ikhlas untuk Allah ‘azza wa jalla, kita berlindung kepada Alloh dari yang seperti itu. Jenis ini termasuk nifak.

2. Pada awalnya niat dan tujuan hamba tadi untuk Allah, namun apabila dilihat oleh manusia ia tambah giat dalam ibadahnya dan memperindah seindah-indahnya. Ini termasuk syirik yang tersembunyi. Nabi s.a.w bersabda : “Wahai sekalian manusia, jauhilah kesyirikan yang tersembunyi!” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa itu syirik yang tersembunyi?” Beliau menjawab, “Seseorang bangkit melakukan solat kemudian dia bersungguh-sungguh memperindah solatnya kerana dilihat manusia.  Itulah yang disebut dengan syirik yang tersembunyi.” [HR. Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi]

3. Seorang hamba pada awal masuk memulai ibadah, ia lakukan untuk Allah dan keluar dari ibadah itu untuk Allah, kemudian ia menjadi terkenal dengan ibadah itu serta dipuji, ia pun merasa senang dengan hal itu dan berangan-angan para manusia memuji dan memuliakannya.
Disamping itu dia pun mendapatkan apa yang dia inginkan dari harta benda dunia. Kesenangan dan keinginan untuk mendapatkan yang lebih serta mencapai apa yang diimpikannya ini menunjukkan riya’ tersembunyi yang ada pada dirinya.

4. Dan disana ada riya’ yang bersifat badaniyah, seperti orang yang menampakkan kepucatan dan kekurusannya agar dilihat oleh manusia bahawa dia itu seorang ahli ibadah yang telah dikalahkan oleh ketakutan terhadap akhirat. Terkadang juga dengan merendahkan suara dan
kekeringan bibirnya agar disangka oleh manusia bahawa ia sedang berpuasa.

5. Riya’ dari segi pakaian dan trend mode, seperti orang yang mengenakan pakaian yang penuh tambalan agar disangka oleh manusia bahawa dia seorang yang zuhud terhadap dunia, atau mengenakan pakaian jubah tertentu yang biasa dipakai oleh para ulama. Ia memakai pakaian itu agar dikatakan sebagai orang yang alim.

6. Riya’ dengan ucapan. Majoritinya ini adalah riya’ yang menjangkiti para ahli agama, penasihat dan orang yang menghafal hadits untuk berdiskusi, debat dan jidal serta menampakkan kedalaman ilmunya.

7. Riya’ dalam amalan, seperti orang yang riya’ dalam solatnya dengan memperpanjang sholat, ruku’ dan sujudnya, menampakkan kekhusyu’an, dan orang yang riya’ dalam ibadah puasa, haji dan shodaqoh.

8. Riya’ dengan jumlah shahabat dan pengunjung, seperti orang yang memberatkan diri agar dikunjungi oleh seorang yang alim, agar dikatakan bahawa fulan telah mengunjungi si fulan, dan mengundang manusia agar mengunjunginya supaya dikatakan bahawa dia seorang tokoh
agama yang sering didatangi oleh manusia.

9. Riya’ dengan mencela dirinya sendiri dengan tujuan agar dilihat oleh manusia bahawa dia orang yang tawadhu’, sehingga kedudukan dia terangkat di sisi mereka yang akhirnya memuji dan menyanjungnya. Ini termasuk kelembutan (tersembunyinya) pintu-pintu riya’.

10. Diantara kelembutan dan kesamaran riya’ adalah seseorang menyembunyikan amalannya, dimana dia tidak menghendaki ada orang lain yang melihatnya dan tidak senang ketaatannya nampak. Akan tetapi, apabila dilihat oleh manusia ia senang apabila manusia mengucapkan
salam terlebih dahulu kepadanya, menciumnya dengan penuh kegembiraan dan penghormatan, memujinya, semangat memenuhi kebutuhannya dan mendapatkan keringanan dalam jual beli. Apabila dia tidak menjumpai itu semua, ia merasakan rasa sakit yang mendalam dalam dirinya,
seakan-akan dia mengharuskan adanya penghormatan atas ketaatan yang dia sembunyikan.

11. Di antara kelembutan riya’ adalah menjadikan ikhlas sebagai wasilah untuk mendapatkan apa yang menjadi keinginannya. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan, “Dihikayatkan dari Abu Hamid Al-Ghazali bahwasanya telah sampai kepadanya khabar bahawa barangsiapa yang ikhlas kepada Alloh selama empat puluh hari, niscaya akan terpancar hikmah dari hatinya melalui lisannya. Ia berkata, ‘Aku telah berbuat ikhlas selama empat puluh hari, namun tidak juga terpancar hikmah sedikitpun’. Kemudian aku ceritakan hal itu kepada orang-orang yang arif, mereka mengatakan kepadaku, ‘Kerana kamu berbuat ikhlas untuk mendapatkan HIKMAH, bukan ikhlas kerana ALLAH!” [lihatlah "Dar-ut Ta'arudl Al-Aql wan Naql" karya Ibnu Taimiyyah (6/66), "Minhajul Qasidin" hal 214-221, "Al-Ikhlas" karya Al-Awaiysyah hal.24, "Al-Ikhlas wa Asy-Syirik" karya Dr. Abdul Aziz bin Abdul Lathif hal.9 dan "Ar-Riya" karya Salim Al-Hilali hal.17] Yang demikian itu dikerankan tujuan manusia berbuat ikhlas untuk mendapatkan kelembutan dan hikmah, atau untuk mendapatkan pengagungan dan pujian manusia, atau tujuan-tujuan yang lainnya. Sedang amal ini tidaklah dilakukan dengan ikhlas kepada Allah ‘azza wa jalla dan mengharap wajah-Nya, akan tetapi terjadi amalan itu untuk mendapatkan tujuan-tujuannya.
Semoga Allah melindungi kita dari sifat Riya’ ini.

Monday 27 June 2011

KISAH QORBAN DAN CINTA KEPADA ALLAH

Kisah 1: Nabi Adam

Korban dilaksanakan oleh anaknya, Qabil dan Habil. Menurut sejarah, kekayaan yang dimiliki Qabil mewakili kelompok golongan petani, sedangkan Habil mewakili kelompok penternak. Pada waktu itu, sudah mula ada perintah, sesiapa yang memiliki harta banyak, maka sebahagian hartanya hendaklah dikeluarkan untuk korban.Sebagai petani, Qabil mengeluarkan korban daripada hasil pertaniannya, dan sebagai penternak, Habil mengorbankan haiwan peliharaannya untuk korban. Qabil mengeluarkan korban yang afdal (terbaik), iaitu hasil ternakan yang sihat, manakala Habil sebaliknya. Hal itu diungkapkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua anak Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika mana kedua-duanya mempersembahkan ibadat korban, maka diterima daripada salah seorang dari mereka berdua (Habil), dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Lalu ia berkata: Aku pasti membunuhnya (Habil).” (Surah al-Maidah, ayat 27) Ayat di atas, membuktikan korban Habil diterima di sisi Allah atas dasar niat yang ikhlas dan taat dalam menjalankan perintah Allah. Korban Qabil tidak diterima Allah, kerana mengandungi unsur tidak ikhlas dan taat. Akhirnya, terjadilah peristiwa dan tragedi pembunuhan ke atas Habil oleh tindakan dendam kesumat Qabil. Sejarawan dan ahli tafsir menyatakan, itulah pembunuhan pertama dilakukan di kalangan umat manusia sejak bumi didiami insan. 


Kisah 2: Nabi Ibrahim.


Baginda bermimpi mendapat perintah daripada Allah supaya menyembelih anaknya Ismail. Di saat penyembelihan hendak dilaksanakan Nabi Ismail a.s. berkata kepada ayahnya: "Wahai ayah, saya ingin sampaikan beberapa permintaan kepada ayah. Hendaklah ayah mengikat tangan saya, supaya saya tidak meronta-ronta, yang akan menyulitkan ayah; hendaklah wajah saya dihadapkan ke tanah, supaya ayah tidak melihat wajah saya yang akan menimbulkan kasih sayang ayah kepada saya; hendaklah ayah melipatkan kain ayah, supaya tidak berlumuran darah sedikitpun, sehingga mengurangi pahala saya dan mungkin juga akan diketahui ibu, sehingga dia menjadi susah; hendaklah ayah mengasah pisau ayah, agar memper-cepatkan jalannya atas leher saya, supaya meringankan rasa sakit, kerana mati itu amat sakit sekali; hendaklah ayah membawa baju saya kepada ibu sebagai kenang-kenangan dan katakanlah kepadanya: 'Bersabarlah engkau terhadap perintah Allah', janganlah diberitahu kepadanya bagaimana cara ayah menyembelih saya dan bagaimana ayah mengikat tangan saya; hendaklah ayah tidak membawa anak-anak (seusia saya) ke rumah ibu, supaya rasa sedihnya tidak timbul kembali dan kalau ayah mengetahui anak yang sebaya saya, hendaklah ayah tidak melihatnya, sehingga ayah terkenang menjadi susah dan duka'

Maka kata Nabi Ibrahim a.s: "Sebaik-baik penolong, adalah engkau hai anakku, untuk melaksanakan perintah Allah Taala."Dan diletakkan pisaunya pada leher puteranya, maka dia mulai menyembelihnya dengan kuat sekali, akan tetapi dia tidak mampu melukai lehernya. Kemudian Nabi Ismail a.s berkata: "Wahai ayahku, lepaskanlah tali tangan dan kakiku, supaya Allah Taala tidak memandang saya sebagai orang yang terpaksa."

Maka Nabi Ibrahim pun menelentang kedua tangan Ismail dan kedua kakinya tanpa ikatan, serta memalingkan wajahnya ke arah tanah, lalu menetak pisaunya dengan sekuat tenaga. Pisau itu membalik serta tidak dapat melukai leher Ismail dengan izin Allah.  Kata Ismail a.s: "Wahai ayahku, kekuatanmu menjadi lemah, kerana masih ada rasa cintamu kepadaku, sehingga ayah tidak dapat menyembelih saya." Maka Nabi Ibrahim memukulkan pisau itu kepada batu, dan batu itu terputus dua. Kata Ibrahim a.s: "Hai pisau, engkau mampu membelah batu, tetapi kamu tidak dapat memotong daging?"

Pisau itu berkata dengan izin Allah: "Hai Ibrahim, engkau mengatakan: 'Potonglah!', sedangkan Allah berfirman: 'Jangan engkau potong', maka bagaimana boleh saya mentaati engkau sedangkan saya harus pula mender-hakai Tuhanmu?" Kemudian Allah berfirman:  Maksudnya: "Dan Kami (Allah) menyeru: Hai Ibrahim, sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang yang berbuat baik."Lalu Malaikat Jibril a.s telah datang membawa seekor kibas sebagai gantian Nabi Allah Ismail a.s.

Keikhlasan dan ketaatannya diberi imbalan oleh Allah, iaitu menyelamatkan Ismail dan menggantikannya dengan seekor kibas. Peristiwa korban itu memberikan teladan, untuk meraih kemuliaan pastilah dilalui dengan pengorbanan. Berjuang untuk mencapai kemuliaan, ternyata mesti ditempuh dengan berkorban. Orang yang menyatakan dirinya berjuang, tanpa ada kemahuan untuk berkorban, sesungguhnya bukanlah pejuang melainkan pengikut. Jika ingin maju dan mulia, pasti ada gerakan yang dipeloporinya untuk berjuang sekali gus berkorban, iaitu mendekatkan diri kepada Allah. Justeru kisah pengorbanan yang klasik ini diabadikan di dalam Al-Qur’an dan juga di dalam Doa Iftitah yang kita ucapkan dalam solat kita sempena doa Nabi Ibrahim: “Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, hidupku, dan matiku, hanya untuk-Mu Ya Rabbi!”


Kisah 3:  Nabi Muhammad SAW.


Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang membenci engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat perkara yang diingininya).” (Surah al-Kauthar, ayat 1-3) 

Perbuatan Rasulullah S.A.W seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud dan lain-lainnya menyatakan bahawa setiap Hari Raya Adha, Rasulullah S.A.W menyembelih dua ekor kambing yang gemuk, bertanduk dan berbulu putih bersih. Baginda mengimami sembahyang dan berkhutbah, sesudah itu baginda memegang kambing berkenaan dan bersedia untuk menyembelih, lalu berdoa:

"Ya Allah, terimalah ini dari Muhammad dan ahli keluarga Muhammad."

Kemudian baginda menyembelihnya. Sesudah itu baginda membaringkan kambing yang lagi satu dan berdoa:

"Ya Allah, terimalah ini daripada Muhammad dan umatku".

Sebahagian dagingnya dimakan oleh baginda dan keluarganya, dan sebahagian yang lain dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.


Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Maka makanlah kamu akan daging binatang korban itu dan berilah makan kepada orang susah, yang fakir miskin."
-Surah Al-Haj:Ayat 28




Pembahagian daging korban mengandungi makna sebagai cara untuk mendekatkan hubungan antara orang kaya dan miskin, antara orang berada dengan orang yang serba kekurangan. Malah ibadah korban adalah wahana penghubung yang dilandaskan rasa kemanusiaan, sehingga boleh menimbulkan rasa kasih dan simpati sesama manusia. Maka inilah ibadah yang menggambarkan syariat Islam, di mana manusia dapat mendekati Allah S.W.T atau "bertaqarrub" kepadanya apabila hamba berkenaan mendekati saudara-saudaranya yang berada dalam kesusahan.

Mereka yang akan menjalankan ibadah korban, disunatkan bagi mereka agar menyembelih binatang korban mereka itu sendiri. Jika tidak mampu maka saksikanlah upacara korban itu sendiri. Lihatlah upacara korban itu apabila darah pertama mula mengalir ke bumi, kerana ketika itulah Allah s.w.t mengampuni dosa-dosa yang telah lalu dari orang yang melakukan korban itu. Rasulullah s.a.w telah menyuruh puterinya Fatimah r.a untuk menyaksikan ibadah korban yang dijalankan atas namanya. Sabda beliau:

قُوْمِيْ إِلَى أَضْحِيَتِكِ فَاشْهَدِيْهَا فَإِنَّهُ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ مِنْ دَمِهَا يُغْفَرُ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوْبِكِ . 

Ertinya:  Bangunlah dan pergilah menyaksikan ibadah korban kamu kerana sesungguhnya pada titisan pertama darah yang mengalir akan diampunkan dosa kamu yang lepas. 
Maka kita disunatkan agar menyaksikan ibadah korban kita itu dan berdoalah kepada Allah: 'Ya Allah! Ini adalah dari Engkau dan untuk Engkau maka terimalahnya dari kami.' Semoga ibadah korban kita ini diterima Allah s.w.t, amin. 

Paling penting keikhlasan dan ketaatan menunaikan perintah Allah. Allah menguji iman, seperti menguji keimanan Nabi Ibrahim dengan memerintahkan menyembelih Ismail. Allah tidak memerlukan darah dan dagingnya. Allah sekadar menguji keimanan Ibrahim dengan perintah dan ujian yang sangat berat itu. Syariat dan ibadat korban terus berlaku hari ini hingga kiamat. Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada daging dan darah haiwan dikorbankan itu. Yang dilihat Allah adalah niat ikhlas dan taat yang ada pada diri orang yang berkorban. Allah berfirman yang bermaksud: “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredaan Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.” (Surah al-Hajj, ayat 37)

SUDAH BERKORBANKAH AKU???

Kita sering memperkatakan tentang pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Namun sejauh manakah kita mengambil pengajaran melalui kisah-kisah itu. Jarang-jarang sekali kita mengorbankan kehendak kita, kesukaan kita dan kepentingan kita untuk Allah; malahan, ada yang berpendapat jika kita lakukan sesuatu (amalan) bukan dengan penuh kecintaan, dan senang hati untuk melakukannya, ia adalah sesuatu yang ditolak dan dikeji.


Selalu kita dengari alasan-alasan seperti "hati masih belum terbuka"; "beramal tapi kalau tak ikhlas tak guna jugak" ; "kalau buat tak diterima, kalau x buat pun sama je..baik x yah buat" dan lain-lain lagi sebagai alasan untuk kita melarikan diri daripada menunaikan kewajiban agamanya. Ramai dikalangan kita yang menyangka bahawa jika kita beramal dengan perasaan berat hati adalah sesuatu yang tertolak.,dan kerana itulah mereka meninggalkannya. Kerana itulah masih ramai yang masih menunggu hatinya terbuka untuk bertudung. Kerana itulah ada yang hanya bersolat apabila terasa "ikhlas" untuk bersolat. Malahan ada yang mengatakan sesiapa yang biasanya tidak bersolat, dan tiba-tiba rasa ingin bersolat adalah ikhlas yang sebenar.



Lihatlah bagaimana pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. untuk mendapatkan ketaqwaan dan kecintaan Allah dan juga balasan yang baik daripadaNya. Untuk kita mendapatkan ketaqwaan dan keimanan yang mendalam seperti ini perlulah kita membuat suatu pengorbanan.  Kita tanyalah diri sendiri dan jawab secara jujur.Apakah pengorbanan kita? Apakah perkara yang amat kita sayangi dan kita hargai? Harta kita, Ilmu kita, pangkat dan kedudukan kita, kecantikan kita, kekuatan jasmani kita. Jawapannya hanya pada diri masing-masing.

Jadi apa yang terkorban dalam hidup kita demi kepentingan Islam? Kita tahu akan kekuatan dan kelemahan kita maka gunakanlah kekuatan dan kemahiran kita untuk membuat sedikit pengorbanan dan usaha bagi kepentingan agama, bangsa dan negara.Perlu lahir dari kalangan umat ini semangat pengorbanan yang dimiliki oleh Rasulullah dan para sahabat. Perlu ada di kalangan umat ini 'figure' yang memiliki jiwa besar umpama Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Perlu ada golongan yang keluar merentasi desa, menyeberangi lautan, mendaki bukit bukau, mengharungi onak dan duri, berkelana di rimba, terbang ke tujuh benua demi membuktikan kecintaannya kepada agama Allah SWT mengatasi kecintaan kepada yang lain.

Namun lain pula halnya jika kita melakukan sesuatu yang kita tidak sukai demi orang yang tersayang (iaitu kekasih kita) . Jika kita sanggup mengenepikan kepentingan diri kita, dan melakukan sesuatu yang tidak kita sukai demi kekasih kita, ia dikatakan sangat ikhlas. Dan dia dikatakan mencintai kekasihnya dengan penuh keikhlasan (kerana sanggup lakukan apa sahaja walaupun tidak disukainya demi kekasihnya). Namun mengapakah pendangan kita sangat berbeza jika kita berkorban untuk Tuhan kita yang sepatutnya menjadi "Kekasih Agung" kita?????


Janganlah kerana fahaman-fahaman kita yang silap itu menghalangi kita daripada memperbaiki diri kita walaupun ia kelihatan lebih benar; kerana Allah telah mengingatkan kita di dalam al-Quran: Dan syaitan memperindahkan kepada mereka apa yang mereka lakukan [al-an'aam ].

...........................................................................................................................................




Kesempurnaan pengorbanan terletak pada adanya sesuatu yang terkorban dari orang yang berkorban.

Pertama: Harta benda, berlaku kekurangan harta benda dan wang ringgit miliknya. Hingga diri dan keluarganya hidup di tahap paling sederhana. Tidak boleh mendakwa dirinya pejuang yang banyak berkorban andainya hidup semakin mewah, semakin senang dan harta semakin bertimbun.

Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a pernah ditanya apabila beliau mengorbankan semua hartanya ke jalan Allah, apa lagi yang tinggal untuknya? Beliau menjawab: "Allah dan Rasul"

Kedua: Masa, untuk terbangunnya kejayaan umat, banyak masa perlu digunakan. Tidak boleh 'part time' atau kalau ada masa. Melainkan hilang segala masa rehat, masa santai dan privacy. Terlalu sempit ruang waktu untuk urusan peribadi dan keluarga.
Sayidina Umar Ibnu Khattab pernah berkata:
"Aku tidak dapat tidur di siang hari kerana bimbang urusan aku dengan rakyat tidak selesai, dan aku juga tidak dapat tidur di malam hari kerana bimbang kalau urusan aku dengan Tuhanku tidak selesai."
Ketiga: Tenaga, diri sendiri itulah merupakan sumber tenaga untuk dikorbankan. Tenaga yang tercurah untuk perjuangan Islam itu tidak lagi dapat digunakan untuk menambah pendapatan atau mengumpul kekayaan.

Keempat: Perasaan, kedapatan juga umat yang mahu berkorban membangunkan Islam tetapi memilih dalam bentuk yang seronok, pujian dan sanjungan. Atau bentuk-bentuk yang tidak sampai menanggung derita jiwa kerana menghadapi tentangan. Apa jua jenis risiko yang bakal dihadapi akan diusahakan menghindarinya. Sedangkan memang menjadi sunnatullah para pejuang terpaksa banyak menekan perasaan kerana risiko yang dihadapi.

Kelima: Fikiran, Sayidina Umar Ibnu Khattab sangat dukacita andainya umat ini terdiri dari orang yang lemah mentalitinya walaupun bertaqwa. Anehnya kini kepintaran dan ketinggian mental umat Islam lebih banyak digunakan untuk membangunkan material. Umat perlukan master mind yang mampu merancang, buah fikiran yang bernas, minda yang bersih. Kepintaran diperlukan untuk mengupas isi Al Quran dan mencapai ilmu Islam yang lainnya. Individu muslim yang pintar perlu berkorban demi kedaulatan Islam.

Keenam: Nyawa, ini yang dilakukan oleh para sahabat.
Milik manusia yang paling disayangi ialah nyawa. Para sahabat menukar ganti nyawa mereka demi untuk kemuliaan Islam kerana Allah SWT.

Berkorban apa saja - Hang Tuah





Saturday 25 June 2011

MENGAPA ALLAH MENTAKDIRKAN KEBURUKAN?

Pertama, agar kebaikan dapat dikenal.

Kedua, supaya manusia menyandarkan diri kepada Allah Ta’ala.

Ketiga, supaya manusia bertaubat kepada-Nya (setelah ia berbuat dosa).

Betapa banyaknya manusia yang terdorong untuk membaca zikir-zikir siang dan malam dikeranakan ia takut dari keburukan makhluk yang akan menimpanya. Kerananya, didapati orang seperti ini senantiasa rajin membaca wirid supaya ia selamat dari gangguan-gangguan. Maka keburukan yang ada pada makhluk ini memiliki hikmah bagi terdorongnya seseorang untuk senantiasa berzikir dan membaca wirid dan semisalnya. Ini tentunya merupakan suatu kebaikan.

Jika engkau yakini bahawa semua perbuatan Allah Ta’ala adalah kebaikan, maka hatimu akan merasa tenteram terhadap semua yang ditakdirkan Allah Ta’ala. Engkau pun akan pasrah menerima sepenuhnya. Engkau akan menjadi seperti yang difirmankankan Allah Ta’ala,
وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ
Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya.” (Qs. at-Taghabun: 11)

Alqamah berkata, “Apabila seseorang ditimpa musibah lalu merasa yakin bahawa hal itu dari sisi Allah, maka ia pun redha dan menerima.”

Bila seorang manusia redha dengan sepenuhnya terhadap ketentuan Allah Ta’ala, maka ia akan terbebas dari perasaan sedih dan sikap gelisah, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w,
اَلْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَ أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ، وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ، اِحْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَلاَ تَعْجَزْ، وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلاَ تَقُلْ: لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَذَا لَكَانَ كَذَا، فَإِنَّ “لَوْ” تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, (namun) pada keduanya ada kebaikan (karena keimanan keduanya). Bersemangatlah terhadap segala sesuatu yang mendatangkan manfaat untukmu. Mohonlah pertolongan kepadaNya dan janganlah lemah. Jika engkau tertimpa sesuatu, janganlah engkau katakan, ‘Jikalau aku berbuat ini dan itu, maka tentunya akan beigni dan begitu.’ Dikeranakan kata ‘seandainya’ membuka amalan syaitan.

Dalam hadits yang mulia ini, Rasulullah s.a.w memerintahkan kita untuk terus bersemangat dalam melakukan hal-hal yang bermanfaat. Kemudian, jika kenyataan tidak sesuai dengan harapan sebelumnya, maka katakanlah hal ini telah ditakdirkanNya, dan segala sesuatu yang dikehendakiNya pasti terjadi.

Maksud hadits di atas adalah: Yang paling utama bukanlah kuatnya otot-otot atau badangnya, namun yang dimaksud adalah mukmin yang kuat dalam keimanannya, sebab betapa banyak orang yang kuat badannya tapi tidak banyak berbuat manfaat, namun sebaliknya.

Ringkasnya, keburukan atau kejelekan itu tidak dinisbatkan kepada Allah, sebab Nabi s.a.w bersabda,
وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ
… Dan keburukan bukan berasal dariMu.”
Akan tetapi, kejelekan itu hanya disandarkan pada makhlukNya. Allah Ta’ala berfirman,
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ. مِن شَرِّ مَا خَلَقَ
Katakanlah, ‘Aku berlindung kepada Rabb yang menguasai subuh, dari kejahatan makhluk-Nya.’” (Qs. al-Falaq: 1–2)

Maka, keburukan hanya disandarkan kepada makhluk. Muncul pertanyaan, “Apakah dalam mentakdirkan makhluk-makhluk yang jahat terdapat hikmah?”

Jawabnya, “Ya, di dalamnya terdapat hikmah yang agung.” Kalaulah bukan kerana sebab adanya makhluk yang jahat ini, tentunya kita tidak akan mengenal manfaatnya makhluk yang baik. Serigala misalnya, walaupun badannya kecil, bila dibandingkan dengan unta, tapi ia mampu memakan manusia, sebagaimana yang Allah gambarkan dalam surat Yusuf melalui lisannya Nabi Ya’qub ‘alaihis salam,
وَأَخَافُ أَن يَأْكُلَهُ الذِّئْبُ
Dan aku khuatir kalau-kalau dia dimakan serigala.” (Qs. Yusuf: 13)

Sebagaimana yang telah kita ketahui bersama pula, bahawa seekor unta tidak mungkin makan manusia. Bahkan seekor unta yang kuat dan besar badannya pun akan tunduk kepada perintah anak kecil. Allah s.w.t berfirman,
أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا خَلَقْنَا لَهُمْ مِمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَا أَنْعَاماً فَهُمْ لَهَا مَالِكُونَ. وَذَلَّلْنَاهَا لَهُمْ فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ وَمِنْهَا يَأْكُلُونَ
Dan apakah mereka tidak melihat bahawa sesungguhnya Kami telah menciptakan binatang ternak untuk mereka, iaitu sebahagian dari apa yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami sendiri, lalu mereka menguasainya? Dan kami tundukkan binatang-binatang itu untuk mereka. Maka sebahagiannya menjadi tunggangan mereka dan sebagiannya mereka makan.” (Qs. Yasin: 71–72)

Amatilah hikmah yang sangat agung pada unta ciptaan Allah Ta’ala, yang memiliki badang besar. Allah telah memerintahkan kita untuk bertadabbur (merenungkan dan mengambil pelajaran) terhadapnya, sebagaimana firman-Nya,
أَفَلاَ يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan bagaimana unta diciptakan.” (Qs. al-Ghasyiyah: 17)

Selain itu, Allah pun menciptakan serigala dan selainnya yang membahayakan manusia, sehingga  kita dapat mengetahui betapa agungnya kekuasaan Allah Ta’ala, dan bahawa segala urusan berada di tanganNya.

Sunday 8 May 2011

ESQ WAY 165:TRAINING ESQ SPIRITUAL PARENTING


BETTER PARENTS FOR BETTER WORLD
Feel The Expirience, Get A Meaningful Life

Training ESQ adalah pelatihan kecerdasan emosi dan spiritual berdasarkan 1 Ihsan, 6 Rukun Iman, 5 Rukun Islam, dan dikemas dalam ESQ Way 165.






Angkatan:  ESQ Parenting 3 Malaysia 
Tarikh: 7 Mei 2011
Tempat:  Flamingo by The Lake, Ampang, Malaysia

Trainers: Dr Ary Ginanjar, Pak Arieff , En Qobin 











Mungkinkah kita tidak sedar, bahawa selama ini kita telah menghalang potensi anak-anak kita?  Bukankah kita seringkali sukar dalam memahami keinginan mereka, tidak tahu cara membantu anak mengelola emosinya, tidak mampu memotivasi dan cenderung lebih sering menyalahkan si anak? Apakah kita mampu mengenalkan Allah dan menanamkan nilai-nilai spiritual kepada anak-anak kita melalui hal-hal sederhana di sekitarnya?
Training ESQ Parenting merupakan ta­waran ESQ LC dalam menyiapkan generasi unggul yang menjunjung tinggi nilai-nilai moral. Melalui ESQ Parenting, masyarakat diajak menyedari betapa pentingnya peranan ibubapa dalam pendidikan anak. Betapa segenap pengalaman hidup yang dilalui anak, bahkan sejak dalam kandungan, turut me­nentukan kehidupan mereka saat dewasa.


Pengaruh itu membabitkan seluruh aspek kemampuan anak, iaitu fizik, intelektual, emosional dan spiritualnya. Sehingga, setiap orang tua harus benar-benar me­mahami peranan yang harus dijalankannya, dan pada akhirnya mengetahui bagaimana cara meng­asuh yang sebenarnya. Dengan pola asuh yang tepat, anak akan tumbuh menjadi peribadi yang utuh, dan seluruh aspek kemampuannya akan berkembang secara optimal.


Training ESQ Parenting membawa kita mengharungi sebuah pengalaman emosi & spiritual yang akan menyentuh pemahaman orang dewasa terhadap anak-anak.  Training ini penting, bukan hanya bagi ibu bapa atau pun calon ibu bapa, tetapi bagi sesiapa sahaja yang ingin mengenali dan mengeluarkan potensi fitrah manusia yang luar biasa.




Apa yang kita dapat perolehi daripada training 1 hari ESQ Parenting ?
-Pendekatan dan komunikasi yg lebih baik dgn anak
-Penyatuan  perbedaan pasangan dalam mendidik anak
-Penanaman nilai spiritual dan makna hidup dari orangtua kepada anak
-Pemahaman yang lebih baik tentang kecerdasan intelektual, emosional, dan spiritual anak
-Pemahaman cara mengembangkan potensi spiritual anak
-Lebih memahami jalan pikiran anak karena paham kebutuhan perkembangannya
-Mencegah anak dari trauma emosional
-Kebahagiaan dalam menerima keunikan anak
Panel Syariah ESQ




Tokoh Parenting Indonesia:


Apa yang paling sering dikeluhkan ibubapa terhadap anak? Disuruh belajar susah, malas solat, tidak punya motivasi dan sebagainya. Pada umumnya, mereka mengeluhkan sikap anaknya yang sukar mematuhi kehendak ibubapa. Tak jarang, ketika ini terjadi, mengecop anak nakal atau anak yang gagal akan diberikan kepada si anak. Bahkan kemudian berlanjutan dengan membentak-bentak sebagai upaya agar anak menuruti apa yang diinginkan ibubapa.

Darmono -bukan nama sebenarnya- sering membentak anaknya saat menemani  belajar. Ternyata hal itu mengakibatkan anaknya kini sering gagap saat berbicara.


Lagu Tema:  Susahnya Jadi Budak Kecik



Susahnya jadi budak kecik..." "Susahnya jadi budak kecik..." antara lagu yang sangat mengesankan jiwa yang dipersembahkan oleh Dr. Ary dan para ATS dalam seminar Parenting ESQ . Lagu ini memberi impak yang sangat besar untuk melihat dunia kanak-kanak dari kaca mata kanak-kanak itu sendiri.

Tahukah anda bahawa ternyata pendidikan anak boleh bermula sejak usia empat bulan dalam kandungan sang ibu. Sebab, ketika itu walaupun janin belum sempurna, namun telinga bayi sudah mampu mendengar. Bahkan menurut ahli genekolog, apa yang dirasakan ibu dapat pula dirasakan oleh sang bayi. Apa yang menjadi percakapan ibubapa, itu pulalah yang didengar oleh sang bayi.


Banyak yang kita tidak fahami dalam dunia kanak-kanak. Bagaimana mereka ini sebenarnya mahu meluahkan sesuatu dalam bahasa mereka tetapi kita tidak juga faham. Semakin hari perkembangan otak mereka semakin berkembang dengan sangat pesat dan pada ketika itu banyak eksperimen dan penerokaan dalaman sedang berlaku dalam minda, jiwa dan seluruh sistem tubuhnya.



Perkembangan otak mereka selari dengan perlakuan fizikal kanak-kanak yang kadang-kadang memeningkan kepala ibu dan ayah. Mereka juga kerap melontarkan pertanyaan demi pertanyan dan demi pertanyaan yang kita anggap remeh dan temeh. Sekiranya tidak ditangani dengan cara yang betul maka potensi untuk otaknya berkembang dengan baik akan berhenti disitu.


Ibubapa tanpa sedar melakukan kesalahan dalam mendidik. Kerap, ’kenakalan’ anak dipandang sebagai keburukan. Padahal, boleh jadi, sikap anak yang dianggap nakal itu sebenarnya manifestasi dari potensinya, sesuatu yang harusnya dikembangkan menjadi hal yang lebih baik.  

Kita sering melihat tahap perkembangan tahap kebijaksanaan kanak-kanak ini amat berbeza daripada seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. Sebenarnya tahap kebijaksanaan ini boleh dibentuk semenjak anak dalam kandungan lagi. Perkara ini sebenanrnya telah diterangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w lebih 1,400 tahun yang lalu dalam sebuah hadis Qudsi. Hanya kini barulah sains moden dapat membuktikan bahawa kata-kata Nabi Muhammad itu merupakan fakta saintifik yang tidak boleh disangkal lagi kesahihannya.

Sedang nabi mendukung seorang bayi tiba-tiba bayi itu kencing di atas baju nabi. Emaknya marahkan bayi tersebut dan cuba mengambil anaknya daripada rasulullah dengan cara yang agak kasar. Nabi melarang wanita tersebut melakukan perkara seumpama itu. 

Hanya selepas 1,400 barulah larangan Rasulullah ini dijelas secara santifik oleh Dr Illiot yang menemuinya secara tidak sengaja semasa mengkaji perkembangan otak anaknya Julia yang berusia sembilan minggu. Anaknya itu di pasangkan peranti untuk mengesan aktiviti otak dikepalanya sambil dia menyusukan bayi tersebut. Amat menakjubkan wujud warna-warna yang cantik dalam kawasan tertentu di otak yang anaknya yang sedang menyusu . Namun tiba-tiba anaknya tertendang wayar peranti tersebut menyebabkan Dr. Illiot menjerit dengan kuat kepada bayinya.

Secara beransur-ansur warna-warna yang cantik tadi berubah menjadi warna biru, oren dan hilang begitu sahaja. Penemuan ini membuktikan dan membenarkan apa yang telah dinyatakan oleh nabi di dalam sebuah hadis Qudsi. Rupa-rupanya apabila kita menghalang sesuatu yang dilakukan oleh anak kita, sebenarnya kita telah mematikan perkembangan dendryt yang akan bercantum dengan dendryt yang lain.

Apabila banyaknya percantuaman dendryt berlaku menyebabkan anak anda menjadi lebih pandai dan akhirnya menuju ke tahap genius. Sebaliknya apabila dia dilarang melakukan sesuatu atau kita tidak menjawab apa yang ditanya sebenarnya kita sedang membunuh perkembangan percantuman antara dendryt.


Pentingnya pendidikan sejak awal, juga dikatakan oleh dr. Winny Aries Mufti, SPRM,“Kesalahan dalam mendidik anak seringkali dimulai dari awal pernikahan.  Adanya pemikiran bahawa untuk mendapat anak songsang nanti, itulah yang salah. Seharusnya ketika kita menginginkan anak maka kita sudah mulai memikirkan segala sesuatunya.”


Terasa satu tamparan yang sangat hebat kepada ibubapa yang hadir apabila rata-rata mereka menganggap pertanyaan anak-anak ini satu perkara yang remeh yang tidak perlu dijawab dan hanya mengganggu ibubapa yang kadang-kadang sibuk melakukan pekerjaan lain. Dalam tak sedar sebenarnya mereka sedang membunuh perkembangan dendryt anak-anak yang sedang membentuk horizon geniusnya.


Kini anak-anak semakin membesar dan zaman yang lepas tidak boleh diulangi lagi. Banyak sangat kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh ibubapa yang merasakan apa yang mereka lakukan adalah betul dalam mendidik anak-anak. 


Untuk itu, Training ESQ Parenting diluncurkan untuk menjawab permasalahan yang dihadapi oleh ibubapa. Ary Ginanjar Agustian, Presiden Direktor ESQLC menyampaikan pentingnya training ini, ”Kita perlu membentengi generasi masa depan mulai dari ibubapa melalui training ESQ Parenting ini.” Para peserta training boleh terdiri dari para ayah, ibu, bakal ayah, dan bakal ibu dan yang ingin mengetahui pendidikan anak, akan mendapat panduan dalam mendukung perkembangan anak dari aspek spiritual, emosional dan fizikal.

Peserta akan diajak mengarungi sebuah pengalaman emosi dan spiritual yang akan menggugah pemahaman mereka tentang anak. Tidak hanya membahas perkembangan intelektual, psikologi, dan neurologi anak, training ini juga memberikan cara memunculkan aspek fitrah pada anak. Suatu aspek yang selama ini jarang dibahas dalam dunia kedoktoran mahupun training parenting lainnya.


Testimoni Esq Parenting