Sunday, 1 May 2011

MENGAPA AKU DIUJI?


Hidup kita di dunia yang sementara ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Anggaplah pengalaman lama sebagai iktibar dan kita harus bersyukur kerana kita masih hidup dalam keadaan beriman. Kita diberikan Allah kesihatan tubuh badan dan memiliki rezeki yang tidak putus-putus. Masih mampu berfikir dan masih mampu melaksanakan kewajipan kita kepada Allah s.w.t.  Maka tanda kita bersyukur dan meredhai Allah s.w.t maka kita perlulah baik sangka dengan Allah dan menganggap qadha' dan qadar yang telah berlaku itu yang paling baik Allah tetapkan untuk kita. Dengan keyakinan ini akan hilang perasaan kecewa, putus asa, forbia, truma, takut, bimbang, risau, gelisah dan ragu-ragu.



Hati orang Mukmin tidak pernah takut apa yang akan ditetapkan Allah s.w.t. untuk masa depannya.  Sekiranya kita diuji dengan penyakit maka bersabarlah ini semuanya ada hikmah yang baik untuk kita sedangkan kita tidak mengetahui hikmah Allah berikan penyakit itu pada diri kita.


Jadi, mengapa aku diuji???




1.  KIFARAH


Kifarah adalah ujian atau balasan Allah  ke atas seorang hambaNya yang baik tetapi terlanjur melakukan dosa atau kejahatan di dunia. Maka ketika itulah dia diuji yang mungkin melibatkan kematian orang yang dikasihi, mendapat kecederaan kerana kemalangan jalan raya, kehilangan harta benda ataupun penyakit, tidak kira sama ada penyakit tersebut berlaku dalam tempoh masa yang lama ataupun sekejap bergantung kepada ketentuan (qadha’) Ilahi atau buat selama-lamanya sehingga mati.


Selagi ketentuan (qadha’) bagi sakit itu belum menepati qadha’ Allah, maka sakit (kifarah) tadi tidak akan sembuh biarpun pelbagai usaha dilakukan oleh manusia jelas disini membuktikan bahawa ada di antara penyakit itu akan sembuh dengan sendiri biarpun tanpa usaha manusia untuk mendapatkan kesembuhan ataupun tidak akan sembuh biarpun banyak usaha untuk menyembuhkannya telah dilakukan.

Allah jadikan kesusahan dalam ujian itu sebagai ‘tebusan’ untuk menghapuskan dosa dan keterlanjurannya. Ertinya, Allah membalas kesalahannya didunia untuk melepaskannya daripada balasan di akhirat(neraka). Ini adalah lebih baik kerana azab di dunia adalah lebih ringan berbading azab di akhirat. Dengan kifarah, ‘orang baik’ itu akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan keterlanjurannya lalu bertaubat kepada Allah.

Firman Allah SWT;
“Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (Az-Zukhruf ayat 48)




2.  BALA


Yakni ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah jadikan ujian itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum di akhirat dengan hukuman yang lebih hebat dan dasyat. Dengan kemurkaanNya Allah turunkan kepedihan di dunia lagi sebelum di azab di neraka. Mereka akan di azab dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat. Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas ‘orang jahat yang sedang melakukan kejahatan’. Umat Nabi Nuh ditenggelamkan banjir, Firaun yang ditelan laut Merah, Qarun ditelan bumi, kaum Add, Tsamud oleh hujan batu dan bencana alam yang lain.

Firman Allah SWT;
“Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (At-Taubah ayat 74)


3.  IBTILA’


Ini ujian ke atas orang baik ketika mereka sedang melakukan kebaikan. Ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala dan di tinggikan pula darjatnya di sisi Allah. Jika tidak di uji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha, pemaaf, qanaah dari Allah? Maka dengan ujian bentuk inilah ada kalangan pada Ulul Azmi-yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Ringkasnya, ibtila’ ialah ujian ke atas ‘orang baik yang sedang melakukan kebaikan’. Golongan para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan solehin adalah mereka yang sentiasa di uji dalam bentuk ibtila’ ini.



Bersabarlah......


Firman Allah SWT;Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-Baqarah ayat 214)



Ingatlah bahawa ujian yang datang itu tandanya Allah sayangkan kita. Jadi ambillah masa untuk menilai diri dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha Allah. Fikir dengan positif bahawa setiap dugaan datang dari Allah dan pasti ada hikmah yang tersendiri.


Allah s.w.t. telah menetapkan martabat seseorang pada maqam-maqam tertentu.Namun amalan-amalan yang dilakukan olehnya tidak membolehkannya mencapai martabat yang ditetapkan. Jadi, untuk membolehkan hamba berkenaan mencapai martabat tadi, Allah Yang Maha Pengasih akan mengujinya, mungkin dengan menurunkan bala ke atasnya, seperti sakit, kemalangan jalan raya, kehilangan pancaindera dan sebagainya. Apabila diberi ujian maka Allah akan memberi kesabaran. Dalam menghadapi cubaan seperti ini, kesabaran adalah paling utama.Dengan ini hamba berkenaan akan mencapai martabat tersebut. Demikianlah kehendak Allah terhadap hambanya yang dikasihi.


Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)



Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: "Tidak menimpa ke atas seorang Mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa."
( Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslirn)

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"(Surah az-Zumar: 10). 

Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 96)


Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku ini dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdo'a, jika ia benar-benar memohon pada-Ku.”


No comments:

Post a Comment