"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah ayat 155 dan 156)
Ujian Allah, hanya orang-orang beriman yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di sebalik ujian yang menimpa itu. Berkata seorang ahli hikmah, Ibnu Ataillah Askandari, “Barangsiapa yang menjangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdirNya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Yakinlah ujian itu sebagai satu sunnatullah(peraturan Allah) yang tiada sesiapapun dapat menghindarkannya. Hidup ini hakikatnya adalah satu ujian. Firman Allah;
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”(Al-Mulk ayat 2)
Oleh itu, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negative kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Bila di uji, sedarlah, insaflah… sekurang, kurangnya kita mesti merasakan kita sedang di uji dengan kifarah. Dengan itu, kembalilah kepada Allah… segerakan taubat padaNya.
Lihat sikap Rasulullah SAW, walaupun Baginda tidak berdosa, tetapi oleh kerana gentarnya terhadap seksaan dari Allah, baginda akan bergegas ke masjid setiap kali hujan rebut atau angin kuat melanda. Di masjid Baginda akan bersembahyang dan berdoa untuk keselamatan diri dan umatnya daripada bala bencana yang mungkin datang bersama rebut dan angin kuat itu.
Bila di uji, sabarlah… renungkan… lihatlah dengan mata hati…
"Sesungguhnya sangat mengkagumkan seorang mukmin, sebab segala keadaannya
adalah baik, dan mungkin tidak terjadi yang demikian kecuali bagi seorang
mukmin yang jika dia mendapat nikmat dia bersyukur, maka syukur itu sangat baik
baginya dan bila menderita kesusahan dia bersabar, maka sabar itu sangat baik
baginya". (Hadith riwayat Muslim)
Ujian Allah, bagi yang berdosa, ia merupakan kifarah untuk mengingatkan kelalaian. Bagi yang taat, mendapat ibtila’ itu meningkatkan darjat. Yang penting bukanlah apa yang telah berlaku, tetapi apa yang harus kita lakukan(bertindakbalas) terhadap ujian itu.
Siri-siri ujian yang berlaku dan akan terus berlaku seandainya manusia masih lagi berpaling daripada peringatan-peringatan Allah SWT. Ujian-ujian itu tidak terhenti sekadar itu sahaja. Ia mungkin berulang selagi mana manusia masih takabbur, angkuh, sombong dan bangga diri.
Dengan adanya sesuatu ujian, sepatutnya membuka mata hati kita semua supaya segera bertaubat, mentaati dan berserah diri hanya kepada Allah. Manusia tidak seharusnya menyalahkan takdir Allah semata-mata, sedangkan peristiwa-peristiwa malang yang berlaku adalah kerana kerakusan, ketamakan dan kesombongan mereka sendiri. Malang sekali kerana jarang dijadikan iktibar dan panduan. Hanya sekejap sahaja menimbulkan rasa gerun kemudian dilupakan begitu sahaja.
Allah sering mengingatkan manusia dengan ‘melontarkan’ batu-batu kecil, tetapi jika peringatan itu diabaikan, Allah akan mula ‘melontar’ dengan batu-betu besar. Dan jangan tunggu dihempap gunung, baru hendak berubah. Semoga takdir-Nya(ujian Allah) itu akan menyebabkan tadbir kita lebih bijaksana.
Sabda Rasulullah SAW;
“Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya(tahu besi) dan tinggallah yang baik sahaja.”
Justeru muhasabahlah diri, setiap kali ditimpa ujian. Kembalikan semuanya kepada Allah. Bersangka baiklah dengan Allah. Andai kita merasakan kesukaran yang dialami itu adalah kerana balasan perbuatan yang kita lakukan, maka bertaubatlah. Andai kita merasakan kesukaran tersebut adalah sebagai tanda ujian kepada orang-orang beriman, maka bergembiralah. Sedangkan semulia-mulia manusia Rasulullah itu turut diuji, apatah kita manusia, hambaNya yang biasa. Dan sentiasalah ingat, walau seberat manapun kesukaran yang menimpa, kita pasti mampu menanganinya, sepertimana yang Allah sebutkan “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (2:286).
Marilah kita kembali kepada ajaran Islam dan menjadikannya sebagai landasan kehidupan serta bersabar dalam menghadapi segala bentuk ujian daripada Allah SWT. Marilah kita sama-sama mencari keredhaan Allah dan segera bertaubat memohon kerahmatanNya dan berdoa supaya terhindar daripada sesuatu yang tidak diingini lantaran dosa-dosa yang telah kita perbuat. Jauhilah diri kita daripada terjebak ke dalam perkara-perkara maksiat dan mungkar.
No comments:
Post a Comment