Manusia dimasukkan ke dalam Neraka kerana keadilan Allah. Tidak ada siapa pun yang dilemparkan ke dalam Neraka kerana terzalim. Mereka yang dilemparkan ke Neraka juga tidak terasa dizalimi. Penghuni Neraka itu sendiri akan merasakan patut dan layak mereka itu dicampakkan ke dalam Neraka dan semua mereka sedar akan punca dan sebab-sebabnya. Namun demikian, keadaan ini tidak sama dengan Syurga. Hakikatnya adalah tidak adil kalau manusia itu dimasukkan ke Syurga. Tidak ada manusia yang layak untuk ke Syurga. Tidak ada kebaikan atau amalan soleh yang dibuat oleh manusia yang dengannya ia dapat membeli nikmat Syurga. Walau bagaimana banyak dan hebatnya amalan soleh seseorang manusia itu, ia tidak akan dapat menebus walaupun nikmat sebelah mata. Ini belum lagi nikmat-nikmat yang lain. Jauh sekalilah untuk membeli Syurga.
Allah SWT memasukkan manusia ke dalam Syurga hanya kerana kasih sayang dan rahmat-Nya. Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Bukanlah amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah SWT belaka.” (Riwayat Muslim)
Kalaulah kasih sayang dan rahmat Allah menjadi sebab kita ke Syurga, maka itulah yang patut kita usahakan. Apa pun yang kita buat atau yang kita amalkan mestilah untuk menagih dan mendapat kasih sayang dan rahmat Allah. Dorongan bagi kita untuk beramal dan berjuang mestilah juga untuk mendapat kasih sayang dan rahmat Allah. Dorongan bagi kita untuk menjauhkan maksiat dan kemungkaran mestilah kerana takut tersisih dan terlepas dari kasih sayang dan rahmat Allah dan takut Allah akan murka kepada kita. Justeru itu, hendaklah kita banyak usahakan perkara-perkara yang boleh mendatangkan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Di antaranya ialah:
1. Berbuat Ihsan dalam beribadah kepada Allah SWT dengan menyempurnakan ibadah kepadaNya dan merasa sentiasa diawasi oleh Allah SWT, bahawasanya kamu beribadah kepada Allah SWT, seolah-olah kamu melihatNya, maka jika kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu, dan berbuat baik kepada manusia sebanyak mungkin, baik dengan ucapan, perbuatan, harta, dan kedudukan. Allah SWT berfirman,bermaksud, "Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik." (QS. al-A'raf: 56)
2. Dan di antara sebab-sebab yang paling utama untuk mendapatkan rahmat Allah SWT adalah bertaqwa kepadaNya dan mentaatiNya dengan melaksanakan perintah-perintahNya dan menjauhi larangan-laranganNya, seperti mengeluarkan zakat kepada orang-orang yang berhak menerimanya, beriman dengan ayat-ayat Allah SWT, dan mengikuti RasulNya. Allah SWT berfirman, ertinya, "Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu. Maka akan Aku tetapkan rahmatKu untuk orang-orang yang bertaqwa, yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami. (Iaitu) orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi yang ummi." (QS. al-A'raf: 156, 157)
3. Kasih sayang kepada makhluk-makhlukNya baik manusia mahupun binatang. Rasulullah SAW bersabda, "Orang-orang yang penyayang, maka Allah SWT akan menyayangi mereka (memberikan rahmat kepada mereka), sayangilah dan kasihilah penduduk bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangi kalian." (HR. Abu Daud dan at-Tirmizi)
Dan hal itu lebih ditekankan lagi kepada orang-orang fakir dan miskin yang sangat memerlukan. Sedangkan balasan (ganjarannya) sesuai dengan perbuatan, sebagaimana kita berbuat baik, maka kita akan mendapatkan balasan dari kebaikan tersebut.
4. Beriman, berhijrah, dan berjihad di jalan Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. al-Baqarah: 218).
Maka orang-orang yang beriman selalu mengharapkan rahmat Allah SWT setelah mereka melaksanakan sebab-sebab mendapatkan rahmat iaitu iman, hijrah, dan berjihad di jalan Allah SWT.
Adapun hijrah itu sebagaimana Rasululullah SAW bersabda, "Orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah." (Muttafaq 'alaih).
Rasulullah SAW memberitahu kita berkenaan maksud jihad melalui sebuah hadisnya, yang bermaksud : " Dari Abi Musa, katanya, "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana engkau lihat seorang lelaki yang berjuang kerana keberanian dan yang berjuang kerana Hamiyatan dan yang berjuang kerana riyak? Mana dari mereka yang berjuang di jalan Allah? Maka sabda Rasulullah, "Barang siapa yang berjuang agar kalimah Allah itu menjadi tinggi, maka dia lah yang berada di jalan Allah. "(HR Bukhari & Muslim)
Jihad merangkumi juga jihad melawan hawa nafsu dalam mentaati Allah SWT, sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW, "Orang yang berjihad adalah orang yang memerangi hawa nafsunya dalam mentaati Allah." (HR. al-Baihaqi).
5. Mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mentaati Rasulullah SAW, sebagaimana Allah berfirman, maksudnya, "Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada Rasul, supaya kamu diberi rahmat." (QS. an-Nur: 56).
6. Berdoa kepada Allah SWT untuk mendapatkan rahmatNya, dengan menyebut-nyebut nama-namaNya yang Maha Pengasih (ar-Rahman) lagi Maha Penyayang (ar-Rahim) atau yang lainnya dari nama-namaNya yang Agung dan Indah (Asmaul Husna), seperti mengatakan, "Ya Rahman (Wahai Yang Maha Penyayang), ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmatMu yang luas yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampuni dosa-dosaku, terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Allah SWT berfirman, bermaksud, "Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)." (QS. al-Kahfi: 10).
Dan Allah SWT juga berfirman, ertinya, "Hanya milik Allah asmaul-Husna, maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut asmaul-Husna itu." (QS. al-A'raf: 180).
Mohonlah setiap permintaan kita itu dengan nama yang sesuai dengan permintaannya itu untuk mendapatkannya. Firman Allah SWT, ertinya, "Dan Tuhanmu berfirman, 'Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu'." (QS. al-Mu'min: 60).
Dan firman Allah SWT lainnya, "Dan katakanlah, 'Ya Tuhanku berilah ampun dan berilah rahmat, dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling baik." (QS. al-Mu'minun: 118).
Allah SWT telah menyuruh kita berdoa dan menjamin akan mengabulkan doa tersebut dan Dia Maha Suci yang tidak pernah mengingkari janji.
7. Menjadikan Al-Quran sebagai panduan, pegangan dan mengamalkannya. "Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan, yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertaqwalah agar kamu diberi rahmat." (QS. al-An'am: 155).
8. Mentaati Allah dan RasulNya sebagaimana firman Allah SWT, ertinya, "Dan taatilah Allah dan Rasul, supaya kamu diberi rahmat." (QS. Ali 'Imran: 132).
9. Mendengarkan dan memperhatikan dengan tenang ketika dibacakan al-Quran.
"Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat." (QS. al-A'raf: 204).
10. Istighfar, memohon ampunan dari Allah SWT. FirmanNya, "Hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, agar kamu mendapat rahmat." (QS. an-Naml: 46).
11. Banyakkan berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW.
12. Suka menerima tetamu, kerana datangnya tetamu itu membawa rahmat dan perginya menghapuskan dosa.
13. Banyakkan amalan-amalan sunat. Allah ada berfirman dalam sebuah hadis Qudsi: “Hendaklah kamu lakukan sebanyak-banyaknya amalan-amalan yang sunat sehingga Aku jatuh cinta dan sayang kepadamu.”
Di dalam konteks yang sama, beramal untuk mendapatkan sebanyak-banyak pahala dan fadhilat dari ibadah tidak ada erti apa-apa. Pahala dan fadhilat bukan menjadi sebab manusia dimasukkan ke Syurga. Ia bukan matawang untuk kita beli Syurga. Syurga terlalu mahal untuk dibeli dengan pahala dan fadhilat.
Mereka yang beramal untuk mengumpulkan pahala dan fadhilat demi untuk mendapatkan Syurga seolah-olah telah mengkesampingkan Allah SWT. Seolah-olah mereka telah menggantikan peranan Allah itu dengan pahala dan fadhilat dan seolah-olah pahala dan fadhilat itu menjadi penentu mereka dapat masuk ke Syurga. Mereka merasakan seolah-olah dengan memiliki banyak pahala itu akan terjamin kasih sayang Tuhan dan terjamin Allah tidak akan murka pada mereka.
Yang lebih berbahaya lagi ialah apabila pahala dan fadhilat menjadi matlamat amalan mereka dan bukan lagi Tuhan. Walaupun mulut mereka berkata: “Sahaja aku solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya kerana Allah”, tetapi hati mereka mentasdikkan untuk mendapat pahala dan fadhilat. Pahala dan fadhilat hanyalah apa yang Allah janjikan di atas amalan soleh yang kita buat dan ia adalah urusan Tuhan. Bukan kerananya kita beramal.
Mereka yang beramal untuk pahala dan fadhilat juga telah terjebak dengan cara dunia dan sekularisma. Kalau di dunia mereka mengumpulkan wang untuk membeli kesenangan maka mereka terbawa-bawa untuk mengumpulkan pahala dan fadhilat guna untuk membeli kesenangan di Akhirat. Pahala dan fadhilat itu sebenarnya ibarat hadiah dari Tuhan. Adakah patut kita berlumba-lumba untuk mendapat dan mengumpulkan hadiah tetapi tidak mengendahkan dan tidak mempedulikan Tuhan yang memberikan hadiah itu. Apa dan siapa sebenarnya yang harus kita sanjung dan perbesarkan, hadiah atau yang memberi hadiah?
Kalaupun kita dapat mengumpulkan sebanyak-banyak pahala, apalah ertinya kalau kita tidak mendapat kasih sayang dan rahmat Tuhan. Tetapi kalau kita mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan, ertinya kita sebenarnya telah mendapat segala-galanya. Tidak ada apa lagi yang kita perlukan kalau kita sudah mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan.
Ketahuilah, sesungguhnya Allah SWT Maha Pemberi rahmat (kasih sayang). Bahkan sayangNya terhadap hamba-hambaNya lebih dari sayangnya seorang ibu kepada anaknya.
§ Dengan kasih sayangNya, Dia menciptakan kita.
§ Dengan rahmatNya, Dia memberikan rezeki kepada kita.
§ Dengan rahmatNya, Dia memberikan kesihatan kepada kita.
§ Dengan rahmatNya, Dia memberikan makan dan minum, pakaian serta tempat tinggal kepada kita.
§ Dengan rahmatNya, Dia menunjukkan kita kepada Islam dan Iman serta amal soleh.
§ Dengan rahmatNya, Dia mengajarkan kepada kita apa yang tidak kita ketahui.
§ Dengan rahmatNya, Dia memalingkan kejahatan musuh-musuh dari diri kita. Allah SWT berfirman, bermaksud, "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur." (QS. al-Hajj: 38).
§ Dengan rahmatNya, Dia menurunkan hujan dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan,.
§ Dengan rahmatNya, Dia memasukkan hamba-hambaNya yang beriman dan yang beramal soleh ke dalam syurga.
§ Dengan rahmatNya, Dia menyelamatkan mereka dari Neraka.